LENSANEWS

Pelan transformasi SPAD dibentang dalam tempoh terdekat


LENSANEWS -  Pelan transformasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata antara isi kandungan pelan berkenaan ialah membabitkan perkhidmatan teksi Uber dan Grabcar. 

"SPAD ada program transformasi yang dijangka dibentangkan kepada Kabinet. Saya kira dalam tempoh dua minggu ini.

 "Dalam pelan itu kita bercakap antaranya mengenai Uber dan Grabcar... yang tidak mudah ditangani," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Parlimen Batang Sadong di sini, hari ini.

 Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, berkata pelan transfromasi itu turut membabitkan input hasil satu bengkel meja bulat yang turut disertai wakil persatuan teksi. 

"Jadi mari kita lihat apa yang akan dicadangkan kepada Kabinet nanti," katanya.

 Sementara itu, Nancy berkata pihaknya akan terus menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi menentukan hala tuju Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). 

"Jika bercakap mengenai LPKP, pada dasarnya ia membabitkan kerajaan Sabah dan Sarawak. Mereka mempunyai peraturan berbeza.

 "LPKP adalah di bawah kerajaan negeri. Oleh itu ini di mana kita bekerjasama dengan kedua-dua kerajaan negeri," katanya. 

Posting Komentar

Lagi Hangat